Friday, February 11, 2011

Erra Fazira Tak Layan Gosip Suami Curang




KUALA LUMPUR 31 JAN 2011: Enggan bertindak melulu dan mempercayai gosip suaminya, Engku Emran yang dikatakan bermain kayu tiga, penyanyi dan aktres jelita Erra Fazira sebaliknya lebih senang berdiam diri dan menantikan kesahihan berita tersebut.

Tidak mahu mengeruhkan keadaan, ibu kepada Engku Aleesya ini enggan mempercayai cerita berkenaan selagi tanpa diberikan sebarang bukti.

"Saya tak nak bertindak tak tentu pasal. Memang saya pernah dengar cerita ini dan selagi tak ada bukti saya tak mahu ambil serius. Bukan apa, pengalaman sudah mengajar saya bahawa cerita seumpama ini boleh direka-cipta.

"Kalau saya percaya terus, ia akan membuatkan hubungan kami bermasalah. Wujud pula pergaduhan dan sebagainya. Jadi yang terbaik ialah tunggu bukti, kalau ada bukti barulah saya akan bertindak," katanya ketika diminta mengulas mengenai khabar angin suaminya yang dikatakan menjalinkan hubungan dengan rakan sekerja.

Sebelum ini, gosip berhubung rumah tangga pasangan popular berkenaan pernah bertebaran, bagaimanapun kemudian hilang seketika. Namun berita berkenaan mula bertiup semula, memandangkan kelibat kedua-dua pasangan itu jarang ditemui bersama.

Malah jelas Erra, dia tidak mahu memeningkan kepalanya hanya untuk memikirkan perkara tersebut kerana fokus kehidupannya kini hanya tertumpu kepada cahaya matanya saja.

"Malas nak fikir macam-macam. Bagi saya, anak adalah sumber kekuatan saya untuk terus hidup. Dia penyeri, dialah segalanya dan fokus saya lebih padanya. Anak semakin membesarkan jadi tumpuan hanya pada dia dan segala benda lain akan kita lupakan.

"Daripada saya melayan gosip liar sebegini yang boleh membuatkan kami suami isteri bergaduh, adalah lebih baik saya diamkan saja. Sebaliknya jika ada bukti barulah saya akan bertindak," katanya yang juga sudah bersedia untuk memiliki anak kedua.

Mengharapkan yang terbaik pada rumahtangganya, pelantun lagu Pertemuan ini berkata, sebagai insan biasa, dia bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal menghampirinya.

"Apabila kita sayang seseorang itu, kita perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Kita semua sedia maklum segala makhluk yang hidup akan mati jua akhirnya dan itulah putaran kehidupan. Jadi apa yang akan terjadi masa depan saya nanti, saya bersedia untuk menghadapinya," ujarnya dengan penuh kerelaan.

No comments:

Post a Comment