Friday, February 11, 2011

Zahid Tak Mahu Masuk Campur Urusan Nita



KUALA LUMPUR, 2 FEBRUARI 2011: Penghujung tahun lalu, peminat industri fesyen hiburan tempatan dikejtkan dengan penampilan berani Nita dalam sebuah majlis hiburan.

Banyak reaksi negatif diberikan sehinggakan ada yang beranggapan Nita yang pernah bergelar kekasih hati Zahid bagaikan mahu membalas dendam terhadap juara Akademi Fantasia 2 itu.

Ketika ditemui portal murai.com.my, selepas majlis pelancaran album Marsha baru-baru ini, Zahid yang hadir mengadakan persembahan duet bersama Marsha mendakwa bahawa segala yang dilakukan oleh Nita tidak ada kena mengena dengan dirinya lagi.

"Zahid tahu dan berpeluang melihat sendiri pakaian yang dikenakan Nita ketika itu. Terus terang, Zahid tak merasakan apa yang dibuat Nita itu adalah untuk membalas dendam atau menunjuk-nunjuk kepada Zahid. Apa yang Zahid tahu, itu adalah diri Nita yang sebenar.

"Mungkin selepas tidak lagi bersama Zahid, Nita mahu menunjukan dirinya supaya lebih menonjol dan mungkin dengan cara itu dia merasakan dirinya lebih berani. Memang benar sewaktu kami bersama, Nita agak kurang berpakaian menjolok mata. Itu semua kerana Zahid sendiri yang tidak suka melihat dia berpakaian yang terlalu seksi.

"Bagi Zahid, istilah seksi sebenarnya bukan diukur pada baju semata-mata. Adakala wanita yang bertudung dan berbaju kurung juga boleh jadi seksi sekiranya dia adalah seorang wanita yang sebegitu," ujar Zahid.

Dalam pada itu, Zahid turut menafikan bahawa dirinya pernah mengongkong finalis Malaysia Idol itu sehingga berlakunya percanggahan pendapat antara mereka berdua.

"Zahid tak pernah mengongkong atau mengawal Nita. Pernah Zahid menyuruh dia menghadiri majlis-majlis sebagaimana yang pernah dia hadiri sekarang, tetapi dia memilih untuk tidak mahu datang. Jadi, Zahid sebenarnya tidak pernah menghalang dia.

"Kalau seksi pilihannya, Zahid lebih suka jika dia dapat mengurangkan seksi dalam soal berpakaian. Sejujurnya, Zahid sedih dengan komen-komen yang dilemparkan kepada Nita tentang pakaian itu. Kerana Zahid tak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

"Terus terang, Zahid kurang pasti mengapa dia berpakaian sebegitu. Memang Zahid tergamam setelah melihatnya. Apapun, tidak pula terlintas untuk Zahid menghubungi dia untuk bertanyakan sebab mengapa dia berpakaian sebegitu. Mungkin belum masanya lagi. Mungkin juga dia masih bersedih," jelas Zahid.

Sementara itu, Zahid mengakui sedang kenal rapat dengan seorang wanita. Ketika ditanya lanjut berkenaan hubungan mereka, Zahid bagaimanapun memilih untuk tidak bercakap lebih lanjut berkenaan wanita istimewa berkenaan.

Walaupun begitu, gambar kekasihnya itu telahpun tersebar luas di internet akibat gambar tersebut yang dicuri melalui telefon bimbit wanita berkenaan..

No comments:

Post a Comment